"TRuTh iS bEautiFul WitHouT D0ubt But s0 aRe Lies"

Tuesday, March 15, 2011

Saat Berpisah



alt

Sebaik-baik penasihat ialah kematian. Namun, mana mungkin orang yang pernah mati datang kepada kita untuk menasihatkan? Mengingatkan mati, menakutkan. Manusia akan takut pada apa yang tidak diketahuinya.
Semuanya masih misteri. Hanya tinggal al-Quran dan al-Hadis untuk kita rujuk bagi mengetahui tentang kematian. Namun berapa kerat antara kita yang berbuat demikian. Cerita tentang kematian akan mematikan rasa kemanisan menikmati hidup ini. Dan akibatnya, mati terus mati dalam hidup kita!
Jika seseorang mengingati mati, akan mudah hatinya dilentur kepada makrufat dan makrifat. Jika mengingati kematian jiwa akan jeran dan bosan dengan maksiat dan sayyiat (perkara yang buruk). Jika mati itu hidup di dalam hati kita, kita akan mudah memberi dan meminta maaf. Kita akan mudah bersabar dan bertenang dengan karenah insan. Nikmat dosa akan sirna dengan mengingati mati. Azab taat akan kecil bila teringat saat kembali.
Ketika hatimu jemu dengan ketaatan, mula tergiur dengan kemaksiatan, kenang-kenangkanlah SAAT BERPISAH.
Saat perpisahan itu pasti tiba. Dan tidak ada masa yang sesuai untuk saat itu. Kita datang tidak diminta, kita pulang tidak diduga. Bila sanggup hidup, mesti sanggup mati. Bila sanggup datang, mesti sanggup pulang. Kita hanya menghabisi bilah-bilah hari yang telah ditentukan. Tujuan ke sini untuk diuji, tiba masanya pasti kembali!
Mengapa terlalu enggan untuk berpisah? Nikmat sangatkah dunia ini? Padahal senang dan susah bertukar ganti, suka dan duka datang dan pergi. Tidak ada yang kekal lama, semuanya bersifat sementara. Jika mati tidak memisahkan, kesenangan ini pun akan pergi jua. Kata mereka yang arif tentang kehidupan:
"Manusia lahir bersama tangisan, dicelahi kehidupannya oleh tangisan dan akan dihantar ke pusara oleh tangisan."
Pernahkah ada kesenangan yang abadi dan hakiki? Tidak ada. Justeru, hiduplah berpada-pada. Hiduplah bagai musafir lalu yang singgah bagaikan dagang di rantau orang. Hatinya tetap merindui kampung halaman. Hiduplah bagai orang yang sedang menyeberangi satu jambatan. Tidak sudi berlama-lama kerana di situ hanya sementara. Kakinya melangkah kencang justeru jiwanya sudah di seberang.
Hidup mesti sederhana kerana dunia ini sementara. Sederhana itu bukan pada ringgit dan harta tetapi pada jiwa dan rasa. Jangan terlalu gembira, jangan terlalu berdukacita.
Tidak ada kesenangan yang tidak diiringi kesukaran dan tidak ada kesukaran yang tidak diiringi kesenangan. Selepas ketawa, pasti menyusul air mata. Selepas nestapa pasti kegembiraan menjelma. Allah memberikan kita terang untuk bersyukur. Allah berikan kita gelap untuk bersabar.
Jadilah insan lara yang temannya mujahadah dan taubat. Sentiasalah berusaha menjadi insan yang baik walaupun masih digamit oleh ghairah kejahatan dan dosa. Jatuh, bangun kembali. Jatuh, bangun lagi.
Ukirlah seribu taubat walaupun telah berkali-kali ia dimungkiri. Allah tidak akan jemu dengan taubat hamba-Nya selagi kita tidak putus asa kepada-Nya. Tempuhi jalan mujahadah sekalipun langkahmu pernah goyah. Jangan mengalah. Kau tidak akan kalah selagi tidak mengalah.
Luruskan jalan menuju Tuhan dengan tulusnya hati sesama insan. Elakkan hasad, jauhi mengumpat. Jika tidak mampu menambah, jangan mengurang. Jika tidak mampu menjulang, jangan menghalang. Ingat selalu kata hukama:
"Jika tidak mampu menjadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkannya."
Jika tidak dapat mengucapkan perkataan yang baik, banyakkan diam. Jika memberi nasihat dirasakan terlalu berat, cukuplah dengan menghulurkan doa dan munajat. Setiap kita mempunyai kelebihan. Kata orang, Tuhan tidak mencipta manusia bodoh. Tuhan mencipta manusia dengan kebijaksanaan berbeza.
Justeru, carilah apakah "kebijaksanaan" itu kerana itulah saluran kita untuk berbakti. Ketika rasa takut singgah oleh kebimbangan dijemput maut, katalah pada diri, bila berdepan dengannya kita akan lupa segala-galanya. Kesayangan yang kita takutkan kehilangannya, kecintaan yang kita bimbangkan perpisahan dengannya, akan menjadi sedebu bila berdepan dengan detik itu.
Kita akan terlupa akan jalan yang telah jauh kita tinggalkan di belakang kerana memandangkan jalan yang lebih jauh merentang di hadapan. Nikmat dunia akan kita lupakan sebaik sahaja melihat azab di akhirat. Dan azab di dunia akan kita lupakan setelah melihat nikmat di akhirat.
Sesungguhnya mati itu bukan satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan kepada satu kehidupan yang lebih sejati dan hakiki. Mati itu hanya proses perpindahan – dari alam dunia ke alam barzakh. Sama seperti kelahiran – proses berpindah dari alam rahim ke alam dunia.
Ya, kalau sanggup datang. Mesti sanggup pulang. Hati sewajarnya sentiasa merasa bertemu tak jemu, berpisah tak gelisah. Bukankah kita bertemu untuk berpisah? Dan berpisah untuk bertemu? Semoga kembara kita di dunia akan tiba bersama di hujung destinasinya... syurga!

Mudahnya Kita Jatuh Cinta


alt

Dan terkadang kecintaan memelikkan kita.
Mengapa mudah kita tertaut hati pada seseorang itu?
Hanya pada pandangan pertama.
Dan dulu seorang adikku
selalu mengatakan itu padaku,
Begitu mudahnya aku menyintai seseorang.
Begitu juga dalam jalan dakwah ini.
Kita akan mudah terjatuh cinta.
Banyak kali
Cinta pada mereka yang memberikan kita rasa faham ini.
Dan cinta kepada mereka yang kita berikan rasa faham ini.
Ia adalah tautan hati
Yang sukar dimengertikan.
Perasaan yang sukar
Dinukilkan dengan lukisan kita
Begitulah besarnya erti cinta pada dakwah ini.
Ia menolak kehendak diri untuk memberi sebuah erti
Jauh dirasakan dekat
Sering bersama tidak mendatangkan kebosanan
Ianya bahagia tiada tara!
Ia mengajar erti untuk tidak berhenti dalam memberi
Ia menolak diri untuk sentiasa mengorbankan diri
demi insan yang baru sahaja dikenali
kerana ikatan hati itu
bertahkik pada cinta Ilahi
( aku dan dia, mengalami rasa yang sama; mudahnya hati ini tertaut dan menyukai manusia. Kerana itu, takutnya apabila dialirkan cinta itu pada yang bukan berhak)
Kerana dakwah dan islam, sentiasa menyatukan hati kita,
Menjadikan kita sentiasa jatuh cinta sesama kita,
Setiap masa.
Mudahnya dakwah ini menjadikan kita
Untuk jatuh cinta!
Kerana Allah: Dialah yang meng'allaf'kan hati2 kita!
وَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِہِمۡ‌ۚ لَوۡ أَنفَقۡتَ مَا فِى ٱلۡأَرۡضِ جَمِيعً۬ا مَّآ أَلَّفۡتَ بَيۡنَ قُلُوبِهِمۡ وَلَـٰڪِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيۡنَہُمۡ‌ۚ إِنَّهُ ۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ۬
Dan (Dialah) yang menyatukan di antara hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Anfal: 63)

"Sesungguhnya di kalangan hamba-hamba Allah itu ada satu golongan,mereka bukan dari golongan para nabi ataupun syuhada',tetapi para nabi dan syuhada' mencemburui mereka,tempat mereka di sisi Allah s.w.t.Kata para sahabat,khabarkan kepada kami siapa mereka? Rasulullah S.A.W bersabda:"Mereka adalah satu kaum yang saling cinta-mencintai kerana Allah,bukan ada hubungan saudara-mara di kalangan mereka dan juga bukan kerana kepentingan.Demi Allah,di wajah mereka ada cahaya dan mereka di atas cahaya.Ketika manusia takut,mereka tidak takut.Ketika manusia bersedih,mereka tidak bersedih.Dan mereka berkata,sesungguhnya wali-wali Allah tidak takut dan tidak sedih."♥

Monday, March 7, 2011

Syaitan Itu Kreatif


Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?

“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.

Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuanMalangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran…tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.

Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!

KISAH TIDAK LAMA DULU

Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.

“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.

“Hidayah bang…” jawabnya si dia pendek.

“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.

“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”

“Syukur,” kata saya perlahan.

Setahun kemudian.

“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.

“Betul ke ni?”

“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”

Saya terdiam. Kaku.

“Mana pergi tudungnya?”

“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.

“Itu tudung?”

“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”

“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir.

Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.

“Bang saya insaf bang…“

Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?
Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!

Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:

“Syaitan terlalu kreatif…” Kreatif? Bisik hati saya.

Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.” Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-was’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.

Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.

Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:

Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.” Apa ertinya? “Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…

“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”
“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.

“Aku tak faham. Maksud kau?”

“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”

“Lantas?”

“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”

“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”

“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”

“Jadi kebenaran menolak keindahan?”

“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!

“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.

“Transisi? Apa maksud mu?”

“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”

“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”

Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.

“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”

“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”

“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading– maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.

“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?.”

“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”

“Maksud kau?”

“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”

Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit! 




Thursday, March 3, 2011

Rasulullah SAW Insan Yang Paling Sempurna


http://ensiklopedinabimuhammadsaw.files.wordpress.com/2010/05/ensiklopedi-muhammad-saw3.jpg?w=326&h=295
Nabi Muhammad s.a.w. meskipun sama kejadiannya dengan manusia lain di muka bumi ini, namun bentuk lahiriah dan rohaniahnya tidak sama. Baginda mempunyai keistimewaan yang sama sekali tidak terdapat pada manusia-manusia biasa.
Sebagai manusia yang terbaik di muka bumi ini, Baginda dianugerahkan dengan keperibadian dan perwatakan yang istimewa kerana padanyalah terdapat contoh untuk diteladani.
Umum mengetahui keadaan yang zahir adalah gambaran yang terjelma dari unsur-unsur batin. Rupa paras seseorang boleh membantu menjelaskan keperibadian setiap individu. Ciri-ciri seperti bentuk badan, sifat fizikal dan rupa bentuk anggota adalah menggambarkan tentang akal dan akhlak seseorang. Begitulah dengan Nabi Muhammad s.a.w. yang mempunyai bentuk badan yang indah dan segak, namun tidak dapat digambarkan oleh mana-mana pelukis potret di dunia ini. Allah mengharamkan penggambaran potret Baginda oleh sesiapa saja. Sungguhpun begitu sifat-sifat kecantikan baginda masih boleh diillusikan melalui pertuturan dan riwayat para sahabat dan tabi’in.
Begitu indahnya sifat fizikal Baginda, sehinggakan seorang ulama Yahudi yang pada pertama kalinya bersua muka dengan Baginda lantas melafazkan keIslaman dan mengaku akan kebenaran apa yang disampaikan oleh Baginda. Ulama Yahudi berkenaan terpukau dengan raut paras dan akhlak baginda yang sudah tentunya milik seorang Rasul Agung di muka bumi ini.
Para sahabat yang sentiasa bersamanya sentiasa meneliti bentuk tubuh tokoh kesayangannya secara terperinci. Di antara kata-kata appresiasi mereka yang pernah melihat baginda s.a.w. :
Aku belum pernah melihat lelaki yang sekacak Rasulullah. Aku melihat cahaya memancar dari lidahnya.
Seandainya kamu melihat Rasulullah, kamu akan merasa seolah-olah sedang melihat matahari terbit.
Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w. di bawah sinaran bulan. Aku bandingkan wajahnya dengan bulan, akhirnya aku sedari bahawa Rasulullah s.a.w. jauh lebih cantik daripada sinaran bulan.
Rasulullah s.a.w. seumpama matahari yang bersinar. Aku belum pernah melihat lelaki setampan Rasulullah s.a.w.
Apabila Rasulullah s.a.w. berasa gembira, wajahnya bercahaya seperti bulan purnama dan dari situ kami mengetahui yang baginda sedang gembira.
Kali pertama memandangnya, sudah tentu kamu akan terpesona
Wajahnya tidak bulat tetapi lebih cenderung kepada bulat
Wajahnya seperti bulan purnama
Dahi Baginda luas, raut kening tebal, terpisah di tengahnya. Urat darah kelihatan di antara dua kening dan nampak semakin jelas semasa marah.
Mata Baginda hitam dengan bulu mata yang panjang
Garis-garis merah di bahagian putih mata, luas kelopaknya, kebiruan asli di bahagian sudut.
Hidungnya agak mancung, bercahaya penuh misteri, kelihatan luas sekali pertama kali melihatnya.
Mulut baginda sederhana luas dan cantik
Giginya kecil dan bercahaya, indah tersusun, renggang di bahagian depan.
Apabila berkata-kata cahaya kelihatan memancar dari giginya
Janggutnya penuh dan tebal menawan
Lehernya kecil dan panjang, terbentuk dengan cantik seperti arca. Warna lehernya putih seperti perak sangat indah.
Kepalanya besar tapi terlalu elok bentuknya
Rambutnya sedikit ikal
Rambutnya tebal kadang-kadang menyentuh pangkal telinga dan kadang-kadang mencecah bahu tapi disisir rapi
Rambutnya terbelah di tengah
Di tubuhnya tidak banyak rambut kecuali satu garisan rambut menganjur dari dada ke pusat
Dadanya bidang dan selaras dengan perut. Luas bidang antara kedua bahunya lebih daripada biasa
Seimbang antara kedua bahunya
Pergelangan tangannya lebar, lebar tapak tangannya , jarinya juga besar dan tersusun dengan cantik
Aku tidak pernah menyentuh sebarang sutera yang tipis mahupun tebal yang lebih lembut daripada tapak tangan Rasulullah s.a.w.
Perut betisnya tidak lembut tetapi cantik. kakinya berisi, di tapak kakinya terlalu licin sehingga tidak melekat air. Terlalu sedikit daging di bahagian tumit kakinya.
Warna kulitnya tidak putih seperti kapur atau coklat tapi campuran antara coklat dan putih. Warna putihnya lebih banyak.
Warna kulit Baginda putih kemerah-merahan
Warna kulitnya putih tapi sehat
Kulitnya putih lagi bercahaya
Binaan badannya sempurna, tulang-temulangnya besar dan kukuh
Badannya tidak gemuk
Badannya tidak tinggi dan tidak pula rendah, kecil tapi berukuran sederhana lagi kacak
Perutnya tidak buncit
Badannya cenderung kepada tinggi. Semasa berada di kalangan orang ramai, baginda kelihatan lebih tinggi daripada mereka
Sekalipun baginda miskin dan lapar tapi tubuhnya lebih gagah dan sihat daripada orang yang cukup makan.Aku tidak pernah melihat seorang lelaki yang lebih gagah dan berani daripada Rasulullah s.a.w.
Begitu hebat personaliti dan ketokohan Baginda s.a.w., makhluk terpuji dan teragung di muka bumi. Kesimpulannya Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia agung yang ideal dan sebaik-baik contoh sepanjang zaman.
Moral & Iktibar
Nabi Muhammad s.a.w. adalah manusia terbaik pilihan Allah.
Sifatnya yang terpuji merangkumi aspek fizikal dan rohani.
Atas sifatnya yang superior inilah baginda dilantik menjadi pemimpin seluruh manusia di dunia ini.
Baginda adalah manusia mithali yang serba lengkap dan serba kamil dan layaklah baginda tidak disentuh sebarang dosa lagi bersifat dengan maksum.
Kepimpinan Baginda sepatutnya menjadi contoh teladan kepada semua manusia di muka bumi ini. Barangsiapa mentaati Allah tanpa mengakui kerasulan Nabi s.a.w., nescaya Allah tidak menerima keimanannya.

Bukti Allah Menyintai Kita


(( مـن عـلامـات مـحـبة الـلـه لـك ))
الــســلام علــيــكــم ورحمــة اللــه وبركـــاتـــه ،،
-*^*-{ من علآمآت محبة آلله لكـ }-*^*-
ان أعطاك الله الدين و الهدى , فاعلم ان الله يحبك
1-Allah menganugerahkan agama dan Hidayah,
ketahuilah Allah menyintai kita.
و ان أعطاك الله المشقّات و المصاعب و المشاكل فاعلم ان
الله يحبك و يريد سماع
صوتك في الدعاء
2-Allah memberi kita pelbagai musibah, ketahuilah Allah ingin mendengar suara dan rayuan kita.

و ان أعطاك الله القليل فاعلم ان الله يحبك و انه سيعطيك
الأكثر في الآخره

3- Allah hanya memberi sedikit sahaja nikmat di dunia, ketahuilah Allah akan memberi nikmat yang tidak terhitung pada kita di Akhirat kelak.

و ان أعطاك الله الرضا فاعلم ان الله يحبك وانه اعطاك
اجمل نعمة
4-Allah memberi keredhaan kepada kita, ketahuilah Allah telah memberi kepada mu sebaik-baik nikmat.

و ان أعطاك الله الصبر فاعلم ان الله يحبك و انك من
الفائزون
5- Allah kurniakan kepada mu sifat sabar, ketahuilah kamu telah tergolong dalam golongan mereka yang berjaya.

و ان أعطاك الله الاخلاص فاعلم ان الله يحبك فكون
مخلص له
6- Allah kuniakan kepada mu IkhlasSesungguhnya Allah ingin melihat kamu ikhlas kepadaNya.
و ان أعطاك الله الهم فاعلم ان الله يحبك و ينتظر منك
الحمد و الشكر
7- Allah memberi kepadamu Ilham, ketahuilah Allah kasihkan kamu dan menunggu dari lidahmu, ucapan syukur dan pujian mu kepada Nya.

و ان أعطاك الله الحزن فاعلم ان الله يحبك و انه يخـتبر
ايمانك
8- Allah menganugerahkan sedih dan duka kepada mu, ketahuilah Allah cintakan kamu dan ingin menilai keimanan mu.

و ان أعطاك الله المال فاعلم ان الله يحبك و لا تبخل على
الفقير
9-Allah kurniakan harta kepadamu, itulah tanda Allah menyintai mu dan janganlah kamu bakhil terhadap golongan fakir.

و ان أعطاك الله الفقر فاعلم ان الله يحبك و اعطاك ما هو
اغلى من المال
10-Allah beri kepada mu keadaan fakir, ketahuilah Allah cinta kepadamu dan telah memberi kepada mu sesuatu yang lebih bernilai daripada Harta.
و ان أعطاك الله لسان و قلب فاعلم ان الله يحبك استخدمهم
في الخير و الاخلاص
11-Allah menganugerahkan kepada mu lidah dan hati, ketahuilah Allah menyintaimu untuk mempergunakan keduanya ke arah kebaikkan dan keikhlasan
و ان أعطاك الله الصلاة و الصوم و القرآن و القيام فاعلم
ان الله يحبك فلا تكن
مهملاً و اعمل بهم
12- Allah memberi kepada mu Solat, Puasa, Al-Quran dan berjaga malam. Ketahuilah Allah menyayangi mu, Maka janganlah kamu tidak memperendahnya atau mempermainknnya.. Tetapi beramallah dengannya.
و ان أعطاك الله الاسلام فاعلم ان الله يحبك
13- Allah menganugerahkan Islam kepada mu, ketahuilah Allah telah menyayangi mu.
————————————————————————

Anugerah Allah kepada mereka yang bercinta kerana-Nya


قال النبى صلى الله عليه وسلم

لو أن عَبْدَيْنِ تحابًّا فى الله – واحد فى المشرق , وآخر فى المغرب , لجمع اللهُ تعالى بينهما يوم القيامة , يقول :  هذا الذى كنت تحبه فِيَّ

رواه الشيخان  : تحذيب أطراف الحديث  الصفحة : 43    الجزء الثانى

Jika doa orang hamba Allah bercinta atau berkasih sayang kerana Allah, walaupun seorang di sebelah timu dan seoarang lagi di sebelah barat, Pasti Allah akan mempertemukan keduanya apad hari Qiamat dan Allah akan berseru dengan kataNya: Inilah  Mereka yang bercinta kerena Ku.
Lihatlah Anugerah Allah Yang Maha Kaya kepada mereka yang bercinta kerana Allah… kebanyakkan manusia sekarang rela berkorban kerana pangkat yang mereka ciptakan sendiri seperti raja, tun dan tan sri  atau kerana kecantikan perempuan yang Allah ciptakan dari setitik air mani atau harta yang Allah simpan di perut bumi atau kerana pahala dan Syurga yang Allah janjikan…

Tetapi Cinta Sejati adalah Cinta Kepada Allah dengan Tidak meminta sesuatu pun dari Allah SWT walaupun satu pahala atau sebuah mahligai di Syurga, tetapi terserah pada Allah untuk menganugerahinya kerana setiap pemberian Allah tidak dapat dinilai  oleh semua makhluk ciptaan Allah Subhanahu Wataala. Serahlah cinta kepada Allah pasti Allah dapat menunaikan semua kehendak kita tanpa batasan.